Wednesday, December 31, 2008

SPR perlu kuasa autonomi, Rashid 'akur' saranan pembangkang

Saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman subaya suruhanjaya itu mempunyai kuasa autonomi amat dialukan-alukan dan perlu diberi perhatian yang serius.

Di penghujung jawatan Rashid akhirnya dilihat mengakui bahawa SPR sebelum ini tidak cekap, telus, adil dan bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya sehingga menjejaskan prinsip demokrasi yang didukung oleh negara ini.

Secara tidak langsung cadangan beliau itu seiring dengan saranan yang pernah dikemukakan oleh parti-parti pembangkang untuk melihat proses pilihan raya umum dan kecil dijalankan secara adil dan saksama.

"Akhirnya apa yang kita tuntut dan dakwah selama ini tentang ketidak-cekapan SPR telah diakui sendiri oleh Rashid dan kita alu-alukan pandangan beliau itu.

"Kita mahu semua suruhanjaya tak kira kehakiman, rasuah ataupun SPR yang ada di negara ini dihormati dan diberi kuasa yang luas tanpa ada campur tangan atau sebarang gangguan eksekutif yang boleh merencatkan pilihan raya itu sendiri,"

saya juga mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat Rashid selama ini dan menghargai pandangannya yang mahu melihat suruhanjaya ini bebas.

Dalam pada itu saya menggesa supaya SPR dibawah kepimpinan yang baru dapat memberi 'tekanan' kepada pihak kerajaan supaya SPR dapat berperanan sebaiknya sekaligus membersihkan imej badan itu yang seringkali dikritik fungsinya dan mendapat bantahan besar daripada rakyat.

Merujuk peristiwa bersejarah yang perlu diingati SPR seperti yang berlaku pada 10 November 2007, apabila lebih 100,000 rakyat menyertai himpunan 'Bersih' kerana kecewa dengan peranan SPR selama ini.

Rashid yang bersara wajib hari ini dilaporkan berkata pemberian kuasa autonomi itu perlu bagi memastikan SPR tidak dituduh sebagai 'alat' kepada kerajaan untuk memenangi mana-mana pilihan raya.

"Kita perlu mengkaji semula fungsi SPR supaya tiada lagi tuduhan dilemparkan dan mempertahankan diri kerana sering dituduh 'tiada gigi'..kerana tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

Wednesday, December 24, 2008

SURUHANJAYA PERLANTIKAN HAKIM KERAJAAN BN RAMPAS KUASA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN PARLIMEN?

SETELAH Rang Undang Perbekalan 2009 yang dikatakan ’out of date’ diluluskan oleh Dewan Rakyat, minggu ini beberapa rang undang-undang baru telah dikemukakan oleh kerajaan sebagai ‘penutup’ kepada rancangan integriti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri pada 2003. Ketika mula berkuasa pada akhir Oktober 2003, Abdullah Badawi telah berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan rasuah, meningkatkan integriti dan membangunkan modal insan. Pada awalnya, rakyat begitu teruja dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pendakwaan ke atas beberapa tokoh seperti Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia sehingga BN menang besar pada 2004.


Tetapi dalam masa empat tahun kemudian, rakyat sudah memerhatikan bahawa agenda integriti ini lebih bersifat retorik kerana Abdullah Badawi sendiri ’dikawal’ oleh Tingkat 4 JPM dalam pentadbiran beliau. Lebih memeranjatkan apabila menantunya dengan tiba-tiba menjadi jutawan dan orang yang paling berkuasa dalam dunia politik, pentadbiran awam, perniagaan bahkan sukan juga. Di mana-mana orang bercakap soal ketelusan dan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme pada zaman Abdullah Badawi. Selepas kalah teruk pada 2008, Abdullah Badawi cuba membersihkan semula dirinya dengan membayar ’ex-gratia’ kepada bekas hakim yang dipecat dan menubuhkan dua suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Kita mengalu-alukan sebarang bentuk usaha kerajaan untuk menambah baik pentadbiran awam dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan negara. Walau bagaimanapun, jika cadangan yang dikemukakan lebih bersifat kosmetik, bahkan mempunyai agenda yang lain untuk menambahkan cengkaman kuasa eksekutif ke atas cabang-cabang pentadbiran yang lain, kita tidak dapat menerimanya. Kerana saya sendiri mempunyai pandangan yang agak sinis dalam soal penubuhan SPK khususnya. Saya mendapat maklumat yang berbeza daripada draf asal yang dikemukakan oleh Datuk Zaid Ibrahim berkenaan perkara ini, berbanding dengan apa yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas. Agenda Datuk Zaid untuk membersihkan badan kehakiman nampaknya tidak disambut baik oleh Perdana Menteri.


Kita tidak menolak sepenuhnya SPK kerana ia mungkin lebih baik daripada amalan sebelum ini. Tetapi kita mempersoalkan apakah fungsi sebenar SPK jika cadangan-cadangan mereka boleh ditolak mentah-mentah oleh Perdana Menteri. Lebih teruk lagi, Perdana Menteri mempunyai kuasa melantik ahli suruhanjaya ini yang membolehkan cengkaman Perdana Menteri diperkukuhkan di belakang dan di hadapan. Perdana Menteri juga diberikan kuasa besar untuk meminda Akta SPK ini tanpa melalui prosedur biasa. Memang menjadi amalan perundangan untuk memberi hak kepada Menteri bagi mewujudkan undang-undang kecil (by law), tetapi cara Akta SPK memberi kuasa kepada Perdana Menteri meminda undang-undang ibu (akta) sudah menunjukkan bahawa badan perundangan telah dibeli oleh JPM (buy law).


Isu pertama yang menjadi persoalan ialah kedudukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik hakim-hakim dengan nasihat Perdana Menteri. Nampaknya, Akta SPK yang memberi kuasa memilih calon hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara kepada SPK telah menyanggahi Perlembagaan. Dalam Perlembagaan, SPK tidak wujud, sebaliknya Perdana Menterilah yang berkuasa. Ini bermakna SPK dari sudut implementasinya adalah tidak kuat kerana Perdana Menteri secara wewenang boleh mengenepikan syor mereka berasaskan kuasa mencadang itu hak mutlak Perdana Menteri.


Bukan pertama kali pandangan suruhanjaya dibakulsampahkan di negara kita. Kita tentu masih ingat bagaimana nasib cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Penambahbaikan PDRM dahulu. Bukankah cadangan suruhanjaya ini dipandang serong oleh kerajaan? Apakah pula nasib SPK nanti? Adakah nama yang dikemukakan oleh SPK diterima oleh Perdana Menteri sedangkan akta itu menyebut Perdana Menteri tidak terikat dengan cadangan itu. Atau, apakah akan berlaku jika ada pihak yang mencabar akta ini serta perlantikan hakim di mahkamah kerana prosesnya bertentangan dengan Perlembagaan. Bukankah ini bakal memalukan Yang di-Pertuan Agong kelak?

Kita harus sedar bahawa Akta SPK telah membesarkan lagi kuasa Perdana Menteri dalam soal perlantikan hakim. Dahulu Perdana Menteri hanya mencadangkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Tetapi, Akta SPK bukan sahaja memberi hak kepada Perdana Menteri untuk menolak atau tidak terikat dengan syor SPK, bahkan keahlian SPK itu sendiri dikuasai oleh Perdana Menteri. Daripada sembilan ahli, empat daripadanya adalah ahli kerana jawatan, manakala lima lagi dilantik oleh Perdana Menteri setelah berunding tanpa terikat dengan Majlis Peguam. Dalam kata lain, Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya ke atas SPK melalui kuasa lantikan ini sehingga ia tidak lagi menjadi suruhanjaya yang bebas.


Adakah empat orang hakim kanan dalam suruhanjaya ini ’sanggup’ berbeza pendapat dengan Perdana Menteri kerana lima lagi anggota SPK itu adalah ’orang Perdana Menteri’. Lima orang yang dilantik itu pula lebih kritikal kedudukannya kerana Seksyen 9(1) akta ini memberi kuasa kepada Perdana Menteri memecat mereka bila-bila masa tanpa perlu diberikan apa-apa sebab. Bukankah peruntukan ini bermaksud hidung lima orang itu telah ’dicucuk’ oleh Perdana Menteri? Jika mereka mahukan status quo mereka dalam SPK kekal, maka mereka mesti mencalonkan ’orang yang digemari Perdana Menteri’ untuk menjawat jawatan hakim kanan. Apakah erti semua ini? Apa bezanya dengan cara lama yang memberi kuasa terus kepada Perdana Menteri? Apakah benar ia sekadar kosmetik politik sahaja? Bukankah akta ini sekadar kosmetik politik sahaja?


Lebih aneh lagi apabila Seksyen 37 Akta SPK memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk meminda mana-mana bahagian dalam akta ini bagi memperkemaskannya dalam masa dua tahun tanpa perlu melalui proses Parlimen. Ini bermakna hak Parlimen membuat undang-undang telah dirampas oleh Perdana Menteri secara wewenang. Kita tidak tahu apa nasib akta ini dalam tempoh dua tahun kerana Perdana Menteri berkuasa mengubah, meminda atau tidak mengguna pakai mana-mana peruntukkannya jika didapati tidak sesuai oleh Perdana Menteri. Ini adalah sesuatu yang amat ganjil kerana undang-undang ibu boleh dipinda oleh seorang individu. Maka di manakah hak 218 orang wakil rakyat dan 69 senator dalam soal ini. Lebih terjejas ialah hak Yang di-Pertuan Agong sebagai salah satu komponen Parlimen. Pindaan cara ini telah melanggar proses perundangan biasa.


Rakyat harus sedar dan faham bahawa amalan demokrasi menghendaki cabang-cabang kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman dipisahkan. Kita mengamalkan demokrasi yang melantik eksekutif di kalangan ahli perundangan dalam konsep pertindanan kuasa. Pemisahan kuasa bertujuan supaya setiap cabang pentadbiran awam telus dan saling mengimbangi. Tetapi dalam akta SPK yang baru ini, Kerajaan BN melalui kedudukan Perdana Menteri selaku ketua eksekutif telah membolot semua kuasa. Perdana Menteri hari ini atau selepas mac 2009 diberi kuasa meminda undang-undang tanpa melalui Parlimen, kemudian PM jugalah yang berkuasa melantik hakim-hakim yang disukainya untuk memimpin badan kehakiman sehingga Yang di-Pertuan Agong pun kehilangan kuasa. Nampaknya cara Perdana Menteri mewujudkan integriti ialah dengan memasukkan semua institusi pentadbiran awam ke dalam ’kocek’nya!

Kenyataan Wan Farid

Calon Barisan Nasional bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Wan Farid Salleh membuat tuduhan pertama yang 'nanar' setelah diisytiharkan menjadi calon baru-baru ini.

Beliau menuduh PAS mengalami 'masalah dalaman' berikutan banyaknya cadangan-cadangan calon yang dikemukakan oleh beberapa pihak dalam PAS.

"Saya tak pasti apabila Ketua Pemuda hendak calon ini, Mursyidul Am hendak calon itu, Pesuruhjaya hendak calon yang lain itu ditafsirkan sebagai tidak ada masalah dalaman, " kata Wan Farid sebagaimana disiarkan oleh sebuah stesyen televisyen utama semalam.

Cadangan-cadangan calun yang banyak oleh pelbagai pihak dalam PAS tidak boleh dianggap sebagai perpecahan bahkan ia menunjukkan bahawa betapa PAS mempunyai calun yang sangat lumayan yang berkaliber yang boleh kita kemukakan.

"Tok Guru Nik Aziz pandang orang itu kaliber, pemuda pandang orang ini kaliber, mungkin ada pandangan yang lain berpandangan bahawa ada pihak lain yang berkaliber.

"Itu bermakna bahawa kita (PAS) memiliki jumlah calon yang berkaliber itu mempunyai satu jumlah yang snagat banyak yang boleh kita tonjolkan,"

Siapa pun yang akan PAS pilih nanti ialah hakikatnya mereka yang mempunyai kredibiliti, kaliber yag tinggi yang mempunyai komitmen yang tinggi kepada perjuangan untuk parti untuk agama untuk bangsa untuk rakyat dan untuk negara.

Sebab itu akhirnya PAS akan bulatkan keputusan kepada satu calon sahaja iatu daripada senarai yang ada pada semua pihak itu.

"Kita (PAS) akan pilih yang terbaik untuk dikemukakan kepada rakyat,"

Menang lawan Utusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada saya

Saya, selaku plaintif, menfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan ketua pengarang kumpulan akhbar berpengaruh Utusan Malaysia (ketika itu) dan penerbitnya sebagai defendan-defendan. Image

Saya mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2001.

Saya mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat.

Saya yang bertindak sebagai Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar dari segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah

Dewan Negara digesa tolak SPK

Walaupun telah meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2008, saya tetap berharap Dewan Negara menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 (SPK).

"Keadaan boleh diselamatkan jika Dewan Negara menolak rang undang-undang itu. Ahli-ahli Dewan Negara mesti mengambil kira pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad terhadap rang undang-undang itu,"

Dewan Negara, mesti mengambilkira bahawa rang undang-undang itu akhirnya boleh menyebabkan keputusan dan institusi Yang di-Pertuan Agong dipertikaikan secara terbuka.

"Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat (PR) telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk memperbaiki kedua-dua rang undang-undang itu, tetapi ditolak begitu sahaja,"

"Fasal 37 SPK memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melakukan meminda, memotong, menambah, mengganti, melakukan pengubahsuaian, perubahan, pengubahan dan memutuskan mana-mana peruntukan sebagai tidak boleh dipakai dalam Akta SPK dalam tempoh dua tahun pertama.

"Ia jelas merupakan tindakan merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mencabul Perlembagaan kerana kuasa sedemikian yang diberikan kepada Perdana Menteri secara terang-terangan menceroboh dan mencabul konsep demokrasi berparlimen,"

Menurut sistem demokrasi berparlimen negara ini, penggubalan atau pindaan sesuatu undang hendaklah mendapat kelulusan Dewan Rakyat, Dewan Negara sebelum dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

Saya sifatkan fasal tersebut amat berbahaya kerana ia akhirnya akan mencabul konsep pemisahan kuasa di negara ini.

"Katakan Perdana Menteri tiba-tiba merasa Fasal 2 SPK yang mendukung kebebasan badan kehakiman perlu dipotong atau diputuskan sebagai tidak boleh dipakai, ia akhirnya akan menghancurkan kebebasan badan kehakiman,"

Thursday, December 18, 2008

Pengayuh Jerit wira rakyat dan negara

Saya menyifatkan kumpulan pengayuh berbasikal di kalangan aktivis Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) adalah wira rakyat dan negara.

Keberanian dan kesungguhan yang ditunjukkan aktivis dan pengayuh jerit selama 16 hari berkayuh dengan pelbagai dugaan menimpa mereka hingga hari ini tiba di Parlimen membuktikan mereka wira rakyat.

Penyerahan memorandum Jerit kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri di bangunan Parlimen.

Antara ahli Parlimen yang hadir ialah, Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian); Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang), Tian Chua (KeADILan-Batu), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Charles Santiago (DAP-Klang); Dr Hatta Ramli (PAS Kuala Krai) dan Senator T Murugiah yang mewakili Perdana Menteri.

Sebelum itu polis membenarkan 30 peserta program berbasikal "Rakyat Pengayuh Perubahan" menyerahkan memorandum mereka di bangunan Parlimen-tiga daripadanya sampai jam 11.45 pagi ini.

Penyokong program anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) tersebut berkumpul, bersorak dan menyanyi di sepanjang jalan menyatakan sokongan mereka.

Polis, yang asalnya melarang kumpulan itu berbasikal ke Parlimen, mengiring sebuah lori yang mengangkut basikal-basikal aktivis Jerit dari Taman Tasik Perdana yang terletak berhampiran ke satu simpang ke bangunan tersebut.

Mereka kemudiannya dibenarkan berbasikal ke bangunan tersebut seorang demi seorang.

Menjelang 12.20 tengah hari, sejumlah 120 pengayuh dan penyokong mereka diizinkan memasuki bangunan Parlimen.


Tuesday, December 16, 2008

Keputusan saman fitnah Mahfuz Omar 23 Dis depan

KUALA LUMPUR 16 Dis — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Dis bagi keputusan saman fitnah Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar terhadap Utusan Melayu Berhad dan ketua pengarang akhbar terbitan syarikat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan peguam Mohamed Hanipa Maidin, bagi pihak Mahfuz, dan M. Reza Hassan bagi kedua-dua defendan mengenai isu jumlah ganti rugi yang patut diberikan dalam kes itu.

Mohamed Hanipa dalam hujahannya berkata jumlah RM100,000 ke RM300,000 adalah jumlah ganti rugi am yang munasabah.

M.Reza pula berkata mahkamah perlu memberikan jumlah ganti rugi yang nominal dengan mengambil kira faktor karakter dan sifat peribadi Mahfuz yang dikatakan lantang dan suka bertikam lidah.

Mahfuz, selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Datuk Khalid Mohd dan penerbit akhbar harian itu Utusan Melayu Berhad sebagai defendan-defendan. - Bernama

Monday, December 15, 2008

Bimbang SPRM jadi pelindung rasuah

Saya bimbang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berulang menjadi pelindung rasuah dan akhirnya digelar Suruhanjaya Pelindung Rasuah Malaysia

"Tidak ada pembaharuan untuk membasmi rasuah. Tidak ubah hanya tukar baju sahaja kepada badan yang sama,"

SPRM hakikatnya sama seperti Suruhanjaja Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang hanya boleh memberikan nasihat kepada Perdana Menteri yang tidak ada keazaman politik untuk memerangi rasuah dan akhirnya tidak dipedulikan oleh kerajaan.

"SPRM hakikatnya satu solekan sahaja untuk mengaburi mata umum seolah-olah kerajaan Barisan Nasional (BN) serius memerangi rasuah,"

Selain dari perlantikan anggotanya yang dibuat atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, ia hanya boleh menasihati Perdana Menteri dan mengemukakan laporan tahunan kepada Perdana Menteri. Image

"Kalau setakat mengemukakan laporan tahunan yang rata-rata tidak sempat dibangkitkan dalam Parlimen, ia bertaraf lebih rendah dari persatuan penduduk di sesebuah kampung.

"Sekurang-kurangnya persatuan penduduk kampung boleh juga melakukan tangkapan awam (public arrest) kalau ada pencuri atau penyangak masuk kampung mereka,"

SPRM, tidak ubah seperti projek gajah putih kerana kuasa pendakwaan masih berada di tangan Peguam Negara yang tidak boleh dipersoalkan di Parlimen.

"Kerajaan akan terus berlindung dengan kedudukan Peguam Negara yang biasanya dilihat sebagai penyelamat kuasa politik BN,"

Lebih dari itu, sukar untuk mempercayai Perdana Menteri akan bertindak menurut nasihat SPRM jika orang yang menjadi Perdana Menteri itu adalah Presiden Umno.

"Rasuah dalam Umno tidak perlu dibangkitkan lagi kerana telah banyak didedahkan oleh tokoh-tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Image

"Siapa pun yang menjadi Presiden Umno tidak boleh dipercayai sama sekali kerana parti itu sarat dengan tuduhan rasuah termasuk keengganan mengambil tindakan terhadap dakwaan rasuah yang begitu terbuka dan berleluasa dalam pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu 2006 lalu,"

bekas exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun pernah membuat dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kita bimbang SPRM akan mengulangi sejarah suruhanjaya diraja berhubung ke Datuk V K Lingam yang akhirnya tidak dipanggil royal commission tetapi royal circus,"

Tuesday, December 9, 2008

Keistimewaan Aidil Adha

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Tidak ada suatu hari di mana Allah memerdekakan lebih banyak hamba-Nya dari api neraka kecuali di hari Arafah. Sesungguhnya pada hari ini Allah mengetahui hamba-hamba-Nya lalu Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat.”

Riwayat Muslim dan Aisyah r.a

Huraian
i) Setiap orang Islam yang cukup syaratnya wajib mengerjakan haji di Mekah.
ii) Ibadat haji merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk “menghampiri Allah S.W.T” yang juga disebut sebagai menyahut panggilan “Baitullah” atau menjadi “tetamu Allah” di mana ibadat ini perlu dikerjakan dengan penuh ketelusan, keikhlasan dan keinsafan serta tidak terpesong dari tujuannya yang sebenar.
iii) Matlamat akhir yang diharapkan daripada kerja-kerja haji ialah untuk memperoleh dan mendapat haji yang mabrur, amalan yang banyak dan berkat serta dosa-dosa diampunkan. Apabila kembali dari tanah suci seseorang individu itu diharapkan benar-benar telah berubah, bersih, suci seperti sucinya diri semasa dilahirkan.
iv) Di antara amalan yang dilaksanakan dalam ibadah haji ialah:
a) Bertawaf di sekeliling Kaabah- sebagai menghormati Masjidil Haram dan jika berpeluang disunatkan untuk mencium Hajarul Aswad .
b) Wukuf di Padang Arafah- sebagai mengingatkan diri tentang satu perhimpunan raksasa di Padang Mahsyar di Hari Kiamat kelak.
v) Bagi orang Islam yang tidak berpeluang menunaikan ibadat haji, mereka sebenarnya masih berpeluang untuk sama-sama mengaut pahala yang besar sempena hari Arafah tersebut di mana mereka digalakkan berpuasa sunat pada hari wukuf di Arafah itu kerana sesungguhnya Allah S.W.T akan mengampunkan dosa orang yang berpuasa sunat pada hari Arafah iaitu setahun sebelum dan setahun selepas melaksanakan puasa sunat tersebut.

Tuesday, December 2, 2008

Orang Melayu miskin kerana siapa?

BRITISH tidak meruntuhkan orang Melayu dengan menjatuhkan Raja-rajanya, tetapi dengan melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang rakus dan tidak mempunyai jati diri. Maka, selepas Perang Dunia Kedua, lahirlah sekumpulan aristokrat Melayu berpendidikan Barat untuk diserahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada mereka.

Selepas 50 tahun mereka mengambil alih kuasa daripada penjajah, orang Melayu menerima nasib seperti orang India. Yang berbeza hanya orang India dilumpuhkan oleh penjajah, tetapi orang Melayu dibangsatkan oleh anak bangsa sendiri yang menjadi alat kepada penjajah.

Dan memang tidak menghairankan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 301,000 keluarga orang Melayu berada pada paras pendapatan kurang daripada RM1,000. Jika satu keluarga mempunyai purata lima orang ahli, maka lebih 1.5 juta orang Melayu menghadapi masalah ini.

Bukankah selepas 13 Mei 1969, telah dibentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kaum Bumiputera, tetapi mengapa ia gagal. Orang Melayu terus mengungguli carta kemiskinan, di samping carta masalah sosial juga. Apakah kita tidak sedar selama ini orang Melayu sendiri yang menguasai politik negara dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk membela kepentingan orang Melayu?

Nah! Sekarang orang Melayu sesudah 50 tahun di bawah ketiak Umno mereka terus merempat. Yang membesarkan tembolok hanyalah pemimpin Umno dan anak menantu mereka. Orang Melayu yang lain tidak memperoleh apa-apa. Di kalangan pemimpin Umno sendiri mereka lebih ghairah untuk bercakap soal mahu lawan atau tarik diri dalam pemilihan parti, daripada bercakap soal nasib bangsa dan negara. Tidak adapun sungutan yang benar-benar serius terhadap kedudukan orang Melayu sekarang.

Umno lebih berminat untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka, tetapi tidak mahu langsung membantu orang-orang Melayu yang miskin. Kalau nampak seperti hendak ditolong pun, ialah kononnya membela orang yang terbiar di negeri yang dikuasai pembangkang.

Sudah berapa banyak projek-projek raksasa diwujudkan untuk kroni, tetapi tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu.

Dalam dunia pendidikan yang dianggap jambatan untuk memisahkan orang Melayu daripada kemiskinan, bukan sahaja bahasa Melayu terpinggir, sekolah-sekolah agama milik orang Melayu juga turut menjadi mangsa. Di universiti-universiti awam, sektor-sektor pendidikan yang strategik di fakulti perubatan, undang-undang, perakaunan, ekonomi, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan seumpamanya, jumlah pelajar Melayu amat sedikit berbanding bangsa lain. Orang Melayu lebih banyak ditempatkan di fakulti sastera, pengajian Islam, sains sosial dan sebagainya yang dilihat kurang nilai komersialnya.

Maka orang Melayu sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan ini. Di IPTS seperti MMU yang banyak melahirkan tenaga profesional yang laku di pasaran pekerjaan, hanya 20 peratus sahaja tenaga akademiknya orang Melayu, manakala pelajarnya yang berbangsa Melayu pula hanya sekitar 25 peratus.

Amat jelas sekali bahawa Umno tidak mempunyai komitmen dan tidak serius langsung dalam mengangkat martabat orang Melayu, melainkan retorik kosong sahaja. Orang Melayu jangan terkeliru dengan isu-isu perkauman seperti isu Pengurus Besar PKNS, isu sewa Flat PKNS, isu ladang babi moden atau isu orang bukan Melayu di UiTM, kerana ialah adalah isu kulit sahaja. Yang lebih besar ialah apakah pembelaan kerajaan Umno terhadap orang Melayu atau Bumiputera.

Selama ini, Umno hanya membantu menambahkan kekayaan pemimpin mereka, sehingga ada yang membina banglo lebih besar daripada istana. Mereka bercakap seolah-olah Pakatan Rakyat lebih mengutamakan orang bukan Melayu, tetapi Umno yang mempunyai kuasa yang lebih besar, langsung tidak mempedulikan orang Melayu.

Dalam keadaan seperti ini, dengan kegawatan ekonomi global, maka orang Melayu akan terus tersingkir daripada arus perdana. Orang Melayu paling miskin, paling ramai penagih dadah, paling ramai bermasalah sosial, paling tercorot dalam pendidikan dan sebagainya. Bahkan, kuasa politik orang Melayupun turut terjejas kerana permainan politik Umno.

Jika dalam tempoh 50 tahun sahaja, nasib orang Melayu sudah tidak menentu, bagaimana agaknya orang Melayu 50 tahun akan datang jika Umno terus diberikan kepercayaan. Orang Melayu mesti sedar hakikat ini dan data-data Jabatan Perangkaan itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ratusan masalah lain yang dihadapi sekarang.

Ayuh orang Melayu, membebaskan diri dari Umno, atau terus melayu!

Monday, December 1, 2008

PAS kutuk serangan di Mumbai

PAS mengutuk serangan yang berlaku ke atas tempat-tempat awam di Mumbai 27 November lalu.

Seramai 125 orang terbunuh, manakala 287 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah hotel mewah, hospital, stesen kereta api dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di bandar raya ini sejak malam semalam.

PAS bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa serangan dan mengucapkan takziah kepada Kerajaan India.

PAS tidak menyokong sebarang aktiviti keganasan terutama sekali kepada orang awam, namun mengingatkan kuasa-kuasa besar agar tidak menjadikan tindak-tanduk mereka menyemarakkan aktiviti keganasan.

"Kita tidak menyokong perbuatan pengganas, namun perlu diingatkan kuasa-kuasabesar seperti Amerika Syarikat lah yang melakukan tindakn mendiskrimiasi hingga wujudnya kelompok pengganas ini yang akhirnya membahayakan nyawa awam,"

PAS meminta masyarakat dunia terutamanya kuasa-kuasa besar seperti Amerika menghentikan tindakan berunsur diskriminasi terhadap negara kecil yang menyebabkan berlakunya keganasan.